Apakah kanser prostat?

Dr Rashid menjelaskan kanser prostat ialah ketumbuhan yang bermula dalam kelenjar prostat. Dalam beberapa kes, kanser ini membiak dengan perlahan sehingga penghidap tidak mengalami sebarang simptom atau menyedari kewujudannya.

Lama-kelamaan ia akan membesar serta mengelilingi prostat. Jika tidak ‘dibunuh’ dengan segera, ia boleh merebak ke tulang belakang yang mengundang risiko lebih besar.

“Peringkat satu dan dua hanya membabitkan 5 peratus kanser di sekitar kelenjar. Peringkat tiga pula ia mula merebak ke sarung kelenjar prostat atau vesikal seminal. Dan tahap empat yang dikategorikan serius ialah kanser mula merebak ke pundi kencing, dubur, paru-paru dan tulang.

“Serangan ke atas tulang belakang boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit belakang malah boleh mengakibatkan lumpuh,” katanya.

 

Punca

Menurut Dr Rashid, beberapa faktor menjadi penyebab kepada kanser prostat, antaranya ialah usia, sejarah keluarga, pemakanan dan hormon.

“Kanser prostat lazimnya menyerang lelaki yang berusia lebih 50 tahun malah semakin tua usia anda, semakin mudah diserang kanser ini. Lebih 80 peratus kanser prostat didiagnosis pada lelaki yang berumur 65 tahun ke atas.

“Ia juga adalah penyakit keturunan di mana mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser berkenaan lebih terdedah kepada risiko diserang.

“Paras testosteron (hormon seks lelaki) yang tinggi juga dikaitkan dengan pembentukan kanser. Selain itu, faktor pemakanan turut memainkan peranan seperti pengambilan makanan berlemak yang berlebihan serta merokok,” ujarnya.

 

Simptom

Antara simptom yang boleh dijadikan indikasi seseorang mungkin menghidap kanser adalah berlaku beberapa keadaan berkaitan kencing seperti terlalu kerap, tidak puas, tidak lancar, sakit atau pedih, berdarah, kerap kencing malam, terkencing dan terasa sakit ketika berlaku ejakulasi semasa bersetubuh.

“Kanser yang berlaku pada prostat menghenyak pundi kencing menyebabkan pesakit berasa kerap mahu membuang air kecil atau tidak dapat menahan kencing.

“Pada masa sama prostat yang membesar kerana kanser turut menghimpit salur kencing menyebabkan aliran air kencing tersekat dan susah mengalir keluar. Itulah punca kencing tidak puas atau sakit ketika membuang air kecil,” terang Dr Rashid.

 

Cara kesan kanser

Namun, menurut Dr Rashid ada juga pesakit yang tidak mengalami sebarang simptom menyebabkan mereka sukar mengesan kanser pada peringkat awal. Sebaliknya mereka hanya menyedari bila sudah ke tahap serius.

Oleh itu beliau menyarankan agar lelaki terutama yang melebihi usia 50 tahun supaya menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Ujian melalui kaedah Prostate-Specific Antigen (PSA) boleh mengenal pasti sama ada protein yang dihasilkan oleh tisu prostat normal atau tinggi. Bagi lelaki bawah 40 tahun, bacaan normal ialah pada paras 2.5 sementara bagi yang berumur lebih 50 tahun ialah 4.

“Jika bacaannya lebih daripada paras itu, anda perlu membuat pemeriksaan lanjut melalui beberapa kaedah bagi memastikan sama ada anda dihidapi kanser atau tidak.

“Antara kaedah digunakan untuk pemeriksaan awal ialah DRE (Digital Rectal Examination) di mana doktor memasukkan jari melalui saluran dubur dan merasa buah kelenjar. Jika ia lembut, itu menandakan kelenjar prostat anda normal tapi jika keras, maka itu antara tanda-tanda kanser.

“Begitu pun bagi memastikan lagi, anda perlu membuat pemeriksaan lanjut melalui beberapa kaedah seperti ultrasound, CT Scan (Computed Tomography Scan) atau MRI (Magnectic Resonance Imaging).

“Namun, kaedah paling tepat ialah biopsy di mana doktor mengambil sedikit tisu di bahagian prostat dan dibuat ujian makmal ke atasnya.

 

Rawatan

“Apabila disahkan menghidap kanser prostat, ada beberapa cara rawatan yang boleh dijalankan bergantung pada tahap kanser.

“Antara kaedah rawatan yang berkesan ialah dengan melakukan pembedahan membuang prostat. Atau pesakit juga boleh menggunakan kaedah radioterapi untuk membunuh sel kanser.

“Di samping, bagi mengawal atau mematikan sel kanser, pesakit juga boleh menyekat bantuan ‘makanan’ kepada kanser ini iaitu hormon testosteron. Ini kerana sel kanser cepat merebak jika seseorang pesakit mempunyai tahap testosteron yang tinggi.

“Oleh itu langkah paling bijak mengawal penghasilan testosteron ialah dengan penggunaan ubat atau menutup terus kilang yang menghasilkannya iaitu dengan membuang buah zakar.

“Sebagai ganti, pesakit boleh mendapatkan hormon itu melalui suntikan kerana testosteron memang diperlukan oleh semua anggota badan kita,” terang Dr Rashid.

Dr Rashid menegaskan, walaupun kanser prostat boleh dirawat dan disembuhkan, namun sikap mengambil mudah terhadap ancaman penyakit ini boleh mengundang padah seperti menyebabkan saluran kencing tersumbat yang membawa pula kepada penyakit batu karang, patah tulang dan lumpuh.

 

Sedikit babit lelaki bawah 50 tahun

Kanser prostat menyumbang 5.7 peratus kes, kanser keenam paling kerap dialami dalam kalangan lelaki di Malaysia. Kanser ini menjejaskan kelenjar prostat yang bersaiz normal adalah sebesar kacang walnut.

Dalam kalangan pesakit kanser prostat di negara ini, kaum Cina merekodkan bilangan insiden tertinggi dibandingkan Melayu dan India. Kadar kes meningkat selaras dengan pertambahan usia dan pesakit tertinggi adalah kumpulan warga emas.

Pakar Urologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Datesh Daneshwar berkata, hanya sedikit bilangan kes membabitkan pesakit lelaki di bawah usia 50 tahun, manakala prostat lelaki lebih muda lebih terdedah kepada jangkitan dipanggil prostatitis yang juga menjadi punca kepada kesakitan pelvik yang kronik.

“Kesakitan pada bahagian pelvik ini boleh menyumbang kepada masalah seperti kegagalan ereksi dan ejakulasi tidak matang seterusnya menjejaskan kehidupan sosial dan trauma kepada emosi.

“Kelenjar prostat akan membesar seiring dengan pertambahan usia, tetapi ini adalah semula jadi dan tidak semestinya adalah penyakit. Ia seumpama rambut kita bertukar menjadi uban. Bagaimanapun, pembesaran kelenjar sehingga menekan saluran air kencing akan menyebabkan seseorang mengalami masalah dengan aliran air kencingnya.

“Oleh itu, dinasihatkan lelaki berusia lebih 50 tahun menemui pakar urologi untuk diagnosis, rundingan dan perancangan menjaga prostat supaya kekal sihat,” katanya.

Dr Datesh berkata, kanser prostat adalah penyakit yang lambat berkembang sehingga kebanyakan pesakit meninggal dunia tanpa mengetahui bahawa mereka menderita penyakit terbabit. Biasanya, di awal tahap kanser itu tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Gejala saluran kencing bawah menunjukkan rasa tidak selesa ketika membuang air kecil kepada kerap kencing, sakit ketika membuang air kecil sehingga tidak boleh membuang air kecil dan terpaksa memakai kateter untuk mengeluarkan air kencing.

“Bagaimanapun, terdapat senaman, ubatan mahupun pembedahan yang membolehkan pesakit membuang air kecil dan menjalani rutin kehidupan lebih baik.

“Mereka yang mengalami gejala berkenaan lebih baik mendapatkan bantuan profesional dan panduan kerana jika penyakit lewat dikesan dan tidak diuruskan lebih awal akan membawa masalah serius apabila mendatangkan kesan buruk jangka panjang kepada pundi kencing, buah pinggang dan fungsi seksual,” katanya

 

sumber: mymetro (4/09/2016)

 

Kanser Prostat merupakan kanser ke-5 paling kerap dalam kalangan lelaki di Malaysia. Anda kumpulan berisiko tinggi jika ada sejarah keluarga menghidap kanser ini.

sila jalani ujian saringan di hospital.

*November Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki Sedunia

prostat