Operasi Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan
20 April 2020

PATUHILAH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

94717593 3329354467085163 7041311947911856128 o

KUALA LUMPUR: Kebiasaannya, setiap kali menjelang 1 Ramadan, umat Islam di seluruh negara akan berpusu-pusu pulang ke kampung bagi menyambut bulan penuh keberkatan bersama ahli keluarga.

Tidak hirau menempuh jalan raya sesak, asalkan dapat mengambil 'mood' bersahur, berbuka puasa dan terawih bersama orang disayangi di kampung halaman pada hari pertama Ramadan.

Bagaimanapun, situasi kita meraikan kedatangan bulan puasa kali ini, yang bakal tiba beberapa hari saja lagi itu pastinya lain daripada yang lain.

Ia luar biasa dan sudah pasti akan dikenang seumur hidup; umat Islam bakal menyambutnya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini telah pun memasuki fasa ketiga, bagi membendung penularan COVID-19.

Kerajaan mengingatkan bahawa orang ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung dalam tempoh PKP fasa tiga dilaksanakan. E-bazar Ramadan menerusi kaedah pandu lalu serta 'bungkus dan ambil' makanan juga tidak dibenarkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis akan menambah sekatan jalan raya di seluruh negara bagi memastikan kawalan pergerakan dapat dipertingkatkan berikutan ada ura-ura orang ramai ingin balik ke kampung untuk menyambut Ramadan.

Tidak mengira darjat, malah wakil rakyat juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara ketika menjalankan tugas di kawasan masing-masing ketika tempoh pelaksanaan PKP serta tidak boleh mengadakan perjumpaan atau program serta jamuan melibatkan kelompok yang ramai.

Semua SOP dalam PKP ini pastinya mewujudkan norma baharu sambutan Ramadan berbanding kebiasaan kerana majlis berbuka puasa beramai-ramai yang menjadi kelaziman sewaktu bulan Ramadan pun tidak boleh diadakan.

Walaupun kes positif COVID-19 mencatatkan dua angka sejak beberapa hari lepas, namun usaha meratakan lengkuk masih berterusan dan rakyat perlu sedar ia bukanlah satu tiket untuk mereka sesuka hati melanggar PKP.

Apatah lagi menyimpan hasrat untuk pulang ke kampung menjelang Ramadan ini. Jadi, duduk sahaja di rumah.

Perlu diingat, sebanyak 11 penjara sementara bagi tahanan ingkar PKP akan mula beroperasi 23 April ini, kira-kira sehari sebelum tarikh jangkaan umat Islam menyambut Ramadan.

Ini memberi pilihan kepada orang ramai sama ada mahu menyambut Ramadan dengan selesa di rumah, atau mungkin mahu merasakan kelainan tahun ini dengan menyambutnya di penjara. Tepuk dada tanya selera.

SUMBER: BERNAMA

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menempatkan dua aset udaranya helikopter Agusta Westland AW139 dan AS365 N3 Dauphin di pulau ini bagi memantapkan pengawasan keselamatan perairan negara di sektor utara Selat Melaka, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah/ Perlis Kapten Maritim Zulinda Ramly, berkata dua helikopter itu sebelum ini berpangkalan di Stesen Udara Maritim Subang.

“Sepanjang PKP ini, APMM menggunakan tiga kapal dan dua aset udara melaksanakan tugasan pengawasan di perairan negara yang bersempadan dengan Thailand dan Indonesia.

“Dua buah helikopter ini pula dapat membantu APMM membuat pengecaman atau pengesanan lebih cepat.

Semua maklumat yang diperoleh akan disalurkan kepada kapal terdekat di lokasi pengawasan dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah/Perlis (Langkawi),” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Zulinda berkata APMM bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi meningkatkan penguatkuasaan di kawasan perairan negara.

“Semua aset ini berada di titik panas dan pemantauan dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan sempadan perairan negara,” katanya.– BERNAMA